Nov 27, 2025 - FASSelangor FC meraih satu mata dalam perlawanan kelima Kumpulan G saingan ACLTWO 2025/26 selepas mengikat Bangkok United FC 1-1 di Stadium Pathum Thani semalam.
Perlawanan bermula dengan pasukan tuan rumah melancarkan beberapa percubaan berbahaya, namun kedua-dua pasukan menutup separuh masa pertama tanpa jaringan. Bangkok United akhirnya membuka tirai gol pada minit ke-51 menerusi Phumichantuk. Skuad Gergasi Merah kekal disiplin dalam bertahan dan menyerang sepanjang permainan, sebelum gerakan dua pemain muda, Muhammad Khalil dan Izwan Yuslan, membuahkan hasil pada minit ke-90+4. Umpanan mereka disempurnakan Chrigor Moraes untuk menyamakan kedudukan 1-1, sekali gus memastikan Selangor FC membawa pulang satu mata berharga.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, meluahkan rasa bangga terhadap semangat juang pemain meskipun pasukan sudah tidak lagi berpeluang mara ke pusingan seterusnya.
“Satu keputusan yang positif untuk pasukan. Tahniah kepada pemain kerana menunjukkan mentaliti tidak mudah berputus asa sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan. Saya sangat berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan. Sudah tentu kami kecewa kerana tidak dapat meneruskan perjuangan dalam kejohanan ini, dan jelas ada ruang untuk diperbaiki. Dalam masa yang sama, saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana tidak dapat melangkah lebih jauh dalam ACLTWO. Kami telah berikan segalanya. Saya juga memberi peluang kepada pemain muda beraksi hari ini, dan saya berharap semangat yang mereka pamerkan akan membantu mereka dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Selepas ini, Selangor FC akan berdepan Sabah FC dalam perlawanan Separuh Akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam. Perlawanan ini akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan terhadap hukuman yang dikenakan sebelum ini.
Pihak pengurusan Gergasi Merah merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyokong yang hadir di Stadium Pathum Thani bagi memberikan sokongan kepada pasukan. Sokongan anda amat kami hargai.
Kami juga berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pemain. Teruskan momentum ini untuk perlawanan seterusnya!
Demi Kebanggaan!